Orang Asli Mah Meri sangat terkenal dengan hasil seni kraftangan. Kaum wanita terlibat dengan penghasilan kraftangan yang diperbuat daripada anyaman daun mengkuang manakala kaum lelaki banyak terlibat dalam pembuatan kraftangan ukiran-ukiran patung dan topeng. Mereka mewarisi seni ukiran ini daripada orang-orang tua mereka. Aktiviti menganyam dan membuat ukiran kayu adalah salah satu budaya masyarakat Orang Asli Mah Meri yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi. Produk-produk hasil kraftangan ini telah menjadi salah satu sumber pendapatan mereka. Sebuah ukiran patung yang mampu disiapkan dalam masa sebulan boleh dijual dengan harga mencecah diantara RM1500 hingga RM4000 mengikut bentuk ukiran dan saiznya.

 

Terdapat segelintir daripada masyarakat Orang Asli Mah Meri yang mendirikan sebuah mini kiosk yang dijadikan tempat untuk mengukir dan mempamerkan hasil ukiran dan kraftangan. Menariknya, warisan kesenian ukiran suku kaum Mah Meri bukan hanya terkenal tetapi turut mendapat pengiktirafan badan dunia seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).