20130212 111046

 

Kampung Orang Asli Sungai Judah merupakan sebuah perkampungan tradisional yang mula diteroka pada tahun 1920, oleh individu yang  bernama Penghulu Timur. Beliau bertindak sebagai Ketua Kampung dan disertai beberapa penduduk yang lain.

Pada peringkat awal penerokaan, kegiatan ekonomi hanya berteraskan pertanian sara diri seperti tanaman ubi kayu, sayur dan hasil hutan seperti rotan dan membuat atap nipah. Manakala kegiatan perikanan dilakukan secara kecil-kecilan. Pada tahun 1953, penduduk dikawasan sekitar Pulau Carey semakin bertambah dan mereka telah sama-sama meluaskan kawasan penempatan. Tanaman seperti kelapa, kopi dan koko turut diusahakan setelah mendapat penganugerahan tanah rizab orang asli.

Nama ‘Kampung Sungai Judah’ diambil sempena sebatang sungai yang menjadi jalan air kepada penduduk untuk ke laut mencari mata pencarian pada ketika itu. Mengikut cerita nenek moyang dahulu, selain menjalankan aktiviti pertanian, masyarakat Asli dahulu hidup berpindah-randah dan salah seorang penduduk, Penghulu Timur mengambil keputusan ‘Penyudah’ meneroka kampung ini dan ditambah suku kata ‘J’, maka lahirlah Sungai Judah.

Individu yang ditemuramah untuk mendapatkan cerita asal usul Kampung Sungai Judah, Pulau Carey:

  • Gendei :Makyang @ Fatimah Binti Abdullah
  • Ibah : Atan Bin Abdullah

Suku Kaum Mah Meri

Mengikut sejarah nenek moyang, suku kaum Mah Meri datang dari Johor Lama iatu Kota Tinggi. Apabila Almarhum Sultan Mahmud mangkat dijulang, segala hamba rakyat lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri dari dibunuh oleh penyamun dan lanun laut.

Sebahagian daripada mereka telah melarikan diri mengikut jalan darat dan jalan persisiran selat Melaka. Dalam perlarian tersebut, mereka singgah di Pantai Batu Pahat, Muar, Melaka, Kuala Linggi, Kuala Sungai Lukut, Sungai Sepang Besar/Kecil dan Sungai Rawang. Sebahagian kecil pula telah lari menghala ke Ulu Chuchuh, Bukit Bangkong dan seterusnya ke Tanjung Sepat, Pulau Carey dan Pelabuhan Klang. Tarikh-tarikh peristiwa penting tersebut tidak dapat dinyatakan.