Menganyam adalah salah satu budaya masyarakat Orang Asli Mah Meri yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi. Hasil anyaman tersebut banyak digunakan sebagai perhiasan untuk menghadiri majlis perkahwinan, acara-acara kepercayaan dan digunakan dalam persembahan kebudayaan mereka. Bagi masyarakat orang asli di sini, seorang gadis itu harus pandai menganyam dahulu sebelum berkahwin. Begitulah gambaran betapa kuatnya masyarakat mereka berpegang kepada budaya dan kepercayaan yang diturunkan oleh nenek moyang mereka.

Golongan wanita di Kampung Orang Asli Sungai Judah bergiat aktif menghasilkan produk kraftangan tradisional. Masa lapang mereka dihabiskan dengan membuat produk-produk kraftangan. Produk yang mereka hasilkan antaranya ialah kraftangan yang dihasilkan daripada anyaman daun mengkuang/nipah seperti tikar, beg, penanda buku, bunga, dan sebagainya. Daun mengkuang dan daun nipah diambil daripada kebun atau hutan berdekatan. Selain itu, mereka juga kreatif menghasilkan keychain yang diperbuat daripada cengkerang-cengkerang yang boleh didapati di persisir pantai berdekatan.

Produk-produk tersebut dikumpulkan dan dijual di Pusat Kraftangan Kampung Sungai Bumbun atau dijual di kiosk kraftangan yang dimiliki oleh masyarakat Orang Asli Mah Meri berdekatan rumah mereka.