Orang asli suku kaum Mah Meri mempunyai banyak kepercayaan dan persembahan kebudayaan yang diturunkan oleh nenek moyang mereka. Jadi ramai belia di Kampung Orang Asli Sungai Judah yang terlibat dalam persembahan kebudayaan ini. Antara yang menarik ialah persembahan tarian kebudayaan Jo-oh. Perkataan ‘Jo-oh’ itu membawa maksud makan dan minum.

 

Tarian Jo-oh memerlukan lima orang penari perempuan (belia) yang memakai pakaian khas dan perhiasan daun nipah serta mengkuang dan juga melibatkan seorang penari lelaki (belia) yang memakai pakaian sama dan topeng Moyang Bojos. Moyang Bojos merupakan moyang yang sentiasa menjadi kebanggaan suku kaum Mah Meri. Bagi mereka, Bojos merupakan penyelamat hutan suatu ketika dahulu. Kini, topeng Bojos merupakan kelengkapan rasmi dalam tarian Jo-oh yang kebiasaannya dipersembahkan dalam majlis perayaan Hari Moyang, selepas menuai atau sekiranya mendapat jemputan daripada orang ramai.

 

 

                                  

 

Hari Moyang adalah hari perayaan Orang Asli Mah Meri seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi masyarakat Islam. Perayaan ini disambut mengikut kalendar Cina dan lazimnya diadakan sebulan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

 

Alat muzik yang digunakan dalam tarian Jo-oh adalah buluh, gendang, dan gong. Manakala lagu dinyanyikan dalam bahasa mereka iaitu bahasa Mah Meri.

 

Kebanyakan belia di Kampung Sungai Judah mengambil bahagian dalam tarian Jo-oh. Ini merupakan satu perkara yang sangat baik kerana sekurang-kurangnya mereka tahu tentang adat resam budaya yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka. Semoga mereka dapat meneruskan dan menyampaikan kebudayaan suku kaum mereka kepada generasi mereka yang akan datang.