NAMA : ROZI A/P JAIS

UMUR : 28 TAHUN

AHLI : 2014

 

Latar belakang

Puan Rozi A/P Jais, 28 tahun merupakan suri rumah sepenuh masa. Untuk membantu suami dalam menambahkan pendapatan keluarga, beliau menjual kraftangan anyaman secara kecil-kecilan. Walaupun untung dari perniagaannya masih tidak banyak, beliau gembira kerana dapat menambah pendapatan keluarga. Suami Puan Rozi pula merupakan seorang nelayan dan pengukir patung kayu. Kraftangan anyaman dan ukiran kayu yang mereka hasilkan biasanya dijual di Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun. Pusat kraf tersebut adalah pusat untuk mengumpul hasil kraftangan komuniti di sekitar Pulau Carey.

 

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan NADI

Sebelum adanya NADI Sg Judah, Puan Rozi tidak terdedah dengan teknologi komputer dan internet. Beliau tiada pengetahuan untuk menggunakan kemudahan teknologi kini dalam kehidupan harian. Contohnya seperti laman sosial Facebook. Sebelum Puan Rozi mempunyai akaun Facebook sendiri, beliau hanya menggunakan telefon sebagai medium utama untuk berkomunikasi dengan kenalannya. Beliau juga tidak mengetahui cara-cara yang betul untuk menggunakan laman sosial sebagai ruang untuk mempromosi produk buatannya.  

 

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan NADI

Selepas menghadiri program-program yang dianjurkan di NADI Sg Judah terutamanya dalam aktiviti keusahawanan, Puan Rozi dapat mengenal banyak kepentingan dan kelebihan teknologi komputer dan internet dalam kehidupan harian. Beliau kini mempunyai akaun Facebook sendiri. Beliau juga berjaya menggunakan akaun Facebook tersebut sebagai medium utama untuk memperkenalkan perniagaan beliau dan suami kepada orang luar. Aplikasi Facebook ini dapat memberi impak positif kepada perniagaan beliau kerana boleh meluaskan pasaran perniagaannya tanpa menggunakan modal yang banyak. Selain itu, Puan Rozi juga banyak mencari idea-idea baru melalui enjin carian google dan youtube untuk menambah baik produk-produknya di masa akan datang.

NAMA : NORFAZIRAH BINTI SALIM

UMUR : 32 TAHUN

AHLI : 2017

 

Latar belakang

Puan Nurfazirah Binti Salim merupakan seorang kerani dan juga menjawat jawatan setiausaha dalam JKKKOA Kampung Kepau Laut. Beliau telah menjadi ahli NADI sejak tahun awal tahun 2017. Sepanjang menjadi ahli NADI Sg Judah, Puan Fazirah sering menggunakan perkhidmatan di NADI seperti kemudahan komputer dan internet, fotostat dan mesin cetakan untuk menyelesaikan tugasan yang sepatutnya. Beliau juga telah banyak melibatkan diri dengan aktiviti dan latihan ICT yang dianjurkan oleh pihak NADI.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan NADI

Puan Fazirah diperkenalkan dengan NADI melalui Pengerusi JKKKOA Sungai Judah, En Bidin. Sebelum ini, beliau tidak mengambil berat berkenaan pengetahuan dan kemahiran ICT. Jadi, beliau jarang datang ke NADI dan menglibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh NADI. Beliau tidak begitu mahir dalam penggunaan komputer dan internet. Keadaan ini menyebabkan beliau sukar untuk menyiapkan tugasan beliau sebagai setiausaha. Selain itu, beliau juga perlu ke pekan yang terletak agak jauh dari kawasan rumah beliau untuk mendapatkan servis cetakan dan fotostat.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan NADI

Selepas penggunaan ICT dan penglibatan di  NADI Sg Judah, Puan Fazirah semakin yakin dan mahir untuk menggunakan komputer dan akses kepada internet. Beliau kerap menggunakan kemudahan yang ada di sini untuk pelbagai tujuan. Antaranya menggunakan perkhidmatan komputer dan fotostat untuk menghasilkan surat-surat rasmi dan jemputan. Dengan pembelajaran yang berterusan di NADI dan bantuan petugas-petugas NADI, kini Puan Fazirah boleh mengenal dan menggunakan komputer serta internet untuk memudahkan urusan harian beliau dan melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai setiauasaha dengan baik.

 

NAMA : NADIANA FITRI BINTI ROSLI

UMUR : 18 TAHUN

AHLI : 2015

 

Latar belakang

Nadiana Fitri merupakan seorang bekas pelajar SMK Pulau Carey. Beliau telah menamatkan peperiksaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2015.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Nadiana Fitri tidak terdedah dengan penggunaan multimedia dan tidak mahir dalam penggunaan komputer serta internet. 

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

PEDi Sg Judah merupakan tempat Nadiana membuat tugasan yang diberikan oleh gurunya ketika menjadi pelajar sekolah. Beliau banyak menghabiskan masa di sini kerana suasana di PEDi cukup kondusif dan membolehkannya untuk berjumpa serta berbincang dengan rakan-rakan sekolah untuk menyiapkan tugasan yang ada. Terdapat sebahagian tugasan yang diberikan memerlukan Nadiana mengakses internet untuk mendapatkan maklumat tambahan. Jesteru, kemudahan internet di PEDi Sg Judah dimanfaatkan oleh beliau tanpa perlu ke bandar untuk pergi ke cyber cafĂ© yang ada.

Selain perkhidmatan internet dan komputer, perkhidmatan mesin fotostat dan printer juga memudahkan proses pembelajaran. Setiap kali ada tugasan yang perlu dihantar dalam bentuk cetakan, PEDi merupakan tempat yang paling hampir menawarkan perkhidmatan cetakan.

 

NAMA : NOORANI SAKILLA BINTI ABU

UMUR : 24 TAHUN

AHLI : 2018

 

Latar belakang

Noorani Sakilla Binti Abu, berumur 24 tahun merupakan suri rumah yang baru sahaja berpindah ke Kampung Sungai Judah kerana mengikut suami bertugas di kawasan sekitar. Beliau merupakan ahli baru di NaDi Sg Judah. Rakan Noorani telah mencadangkan untuk datang ke NaDi Sg Judah untuk belajar ICT bagi mengisi masa lapang. Selain itu, beliau juga berhasrat untuk mencari pekerjaan bagi membantu meringankan beban suami. Suami beliau sangat menyokong pembelajaran ICT di NaDi Sg Judah dan sering meneman Noorani untuk belajar di NaDi ini.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan PI

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan diri di NaDi Sg Judah, Noorani hanya mempunyai pengetahuan asas berkenaan ICT. Walaupun beliau sudah terdedah berkenaan teknologi dalam telefon bimbit tetapi pengetahuannya tidak sama seperti apabila beliau menggunakan komputer. Beliau masih lemah dalam penggunaan teknologi internet dalam kehidupan seharian terutamanya untuk mencari pekerjaan secara dalam talian. Noorani tidak mengetahui platform yang betul untuk memohon pekerjaan secara dalam talian.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PI

Selepas penggunaan ICT dan penglibatan di NaDi Sg Judah, Noorani menjadi lebih mahir dan tidak lagi janggal dalam penggunaan komputer dan internet. Beliau telah dibimbing untuk membuat resume dan menghantar permohonan pekerjaan melalui emel. Penggunaan emel untuk menghantar permohonan pekerjaan menjimatkan masa dan tenaga beliau selain ianya merupakan medium yang lebih efektif untuk berhubung dengan majikan di luar sana.  Selain itu, latihan menaip yang berterusan membolehkan Noorani menaip dengan lebih pantas dan kurang melakukan kesalahan dalam penulisan.

NAMA : MAHALETCHUMI

UMUR : 26 TAHUN

AHLI : 2016

 

 

Latar belakang

Mahaletchumi merupakan belia yang tinggal berhampiran Pusat Ekonomi Digital Sungai Judah. Beliau merupakan graduan diploma dari institut pengajian tinggi swasta. Mahaletchumi selalu hadir ke Pusat Internet Komuniti Sungai Judah untuk menggunakan kemudahan komputer dan internet. Hal ini disebabkan beliau tidak mempunyai kemudahan komputer yang sempurna dan talian di tempat tinggal beliau tidak stabil. Mahaletchumi juga sering ke Pusat Internet Sungai Judah bersama adik-adiknya. Beliau sering menemankan adik-adiknya untuk menyiapkan kerja sekolah menggunakan kemudahan yang ada di Pusat Ekonomi Digital.

 

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Sebelum penglibatan Mahaletchumi dalam aktiviti atau program anjuran Pusat Ekonomi Digital Sungai Judah, kemahiran ICT beliau tidak begitu bagus. Beliau hanya tahu menggunakan internet di telefon mudah alih dan penggunaan internet terhad untuk digunakan di media sosial sahaja sebagai medium komunikasi bersama keluarga dan rakan-rakan. Beliau tidak terdedah dan mengetahui cara-cara yang betul untuk menggunakan laman sosial dan kedai alam maya seperti Shopee dan Lazada sebagai medium untuk mempromosi produk jualannya.  

 

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PEDi

Selepas penglibatan dalam aktiviti dan program yang dianjurkan di PEDi Sg Judah terutamanya dalam aktiviti keusahawanan, Mahaletchumi semakin mahir menggunakan komputer dan internet untuk kegunaan selain daripada berkomunikasi. Sebagai contoh beliau berjaya memasarkan produk jualannya melalui aplikasi whatsapp web. Mahaletchumi juga telah diajar untuk menarik perhatian bakal pelanggan beliau melalui teknik pemasaran yang menarik. Beliau juga dibimbing dan telah mengikuti kelas kemahiran insaniah/soft skill untuk memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan berhadapan dengan pelanggan.